Kira-kira 1.6
juta cawan kopi diminum setiap hari di seluruh dunia. Berbilion-bilion
orang bergantung kepadanya sebagai sebahagian daripada rutin harian
mereka. Namun, tidak ramai yang mengetahui kaitan minuman popular itu
dengan masyarakat Islam.
Menurut rekod
sejarah, dalam tahun 1400-an, kopi menjadi minuman yang sangat popular
dalam kalangan umat Islam di Yemen yang terletak di selatan Semenanjung
Arab.
Legenda itu
bermula apabila seorang gembala (ada yang mengatakan di Yemen, ada yang
mengatakan di Ethiopia) menyedari bahawa kambingnya menjadi sangat
bertenaga dan resah apabila memakan biji kopi dari sebatang pokok.
Penggembala itu
memberanikan dirinya untuk merasai bahan itu dan ternyata, ia memberi
rangsangan tenaga yang luar biasa. Lama-kelamaan, tradisi memanggang
biji kopi dan merendamkannya di dalam air untuk menghasilkan minuman
berkuasa itu telah wujud dan hasilnya, minuman kopi dilahirkan.
Tanpa mengira,
sama ada kisah penggembala itu benar-benar berlaku atau tidak, budaya
minum kopi telah meresap dari kawasan tanah tinggi di Yemen ke seluruh
Empayar Uthmaniah iaitu empayar Islam yang terulung di abad ke-15
Masihi. Serentak itu, kedai-kedai yang khusus menjual minuman kopi telah
muncul di beberapa buah bandar utama dalam dunia Islam iaitu seperti di
Kaherah, Istanbul, Damsyik dan Baghdad.
Dari dunia
Islam, minuman kopi telah menyelinap masuk ke Eropah melalui bandar
tumpuan saudagar besar iaitu Venice. Walaupun pada mulanya, kopi itu
dianggap sebagai sebagai “minuman Muslim” oleh pihak gereja Katolik,
tetapi kini ia telah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat
Eropah.
Kedai-kedai
kopi pada era 1600-an telah menjadi tempat ahli-ahli falsafah bertemu
dan membincangkan isu-isu seperti hak-hak manusia. peranan kerajaan dan
demokrasi. Perbincangan itu telah melahirkan satu pergerakan intelektual
yang paling berkuasa di dunia moden hari ini.
Daripada
seorang gembala kambing di Yemen atau Ethiopia kepada pembentukan
pemikiran politik masyarakat Eropah, minuman kopi yang kini mencatatkan
lebih satu bilion cawan setiap hari itu merupakan satu inovasi Islam
yang paling penting dalam sejarah kehidupan manusia hari ini.
No comments:
Post a Comment