Hampir jam 8.00 malam, dua orang gadis terus berkeliaran di sekitar
puncak gunung jerai. Mereka tercari-cari seseorang. Di puncak gunung
itu, kedua-dua gadis ini telah bertemu dengan seorang lelaki bernama
Ramli bin Haji Khamis, 48. Dia bekerja dengan sebuah organisasi yang
terletak di puncak gunung itu. Sudah hampir 20 tahun beliau bekerja di
situ.
”Abang, kami nak bermalam di sini, di Padang Tok Sheikh, boleh tak ? ”
Tanya salah seorang daripada mereka. Namanya Rasidah. Kawasan padang
yang ditanyakan oleh gadis itu adalah sebuah tempat lapang di puncak
gunung itu. Ia dipanggil Padang Tok Sheikh.
En.Ramli bingung. Biasanya orang yang hendak berkhemah atau berkelah
di situ memang akan bertanya dan meminta kebenaran daripada beliau
terlebih dahulu. Boleh atau tidak, beliau yang akan putuskan.
Tapi kali ini beliau terpaksa menegah kerana sungguh tidak molek anak
gadis bermalam di situ. Lalu beliau menyuruh kedua-dua gadis yang
bertelekung ini pulang sahaja. Namun gadis-gadis itu enggan. ” Tolonglah
bang, malam ni aja. Lepas ni, kami takkan datang lagi,” pinta Rasidah
lagi.
En.Ramli tidak mahu berganjak daripada keputusannya. Berulang kali
difikirkannya, apa gadis-gadis ini tidak takut dengan gunung ini ?
Gunung ini ‘bernyawa’. Ia banyak menyimpan cerita misterinya yang
tersendiri.
Orang-orang di Gurun, Kedah, semuanya tahu puncak gunung itu adalah
perkampungan bunian. Di puncak itu ada sebuah kerajaan besar. Ada istana
dan pemerintahnya. Juga, ada kampung-kampung dan rakyat jelatanya.
Jadi, tidak perlu gadis-gadis tersebut bermalam di puncak gunung itu.
Bahaya! Nanti disorok orang bunian. Tetapi berulang kali beliau
menghalang, ada-ada saja alasan yang diterimanya.
”Kami dah janji dengan tok wan. Tok wan nak datang malam ni. Bolehlah, bang…” rayu Rasidah, tinggi suaranya.
Tok wan mana pula, fakir En.Ramli. Ada sesuatu yang tidak kena !
Segera beliau amati wajah kedua-dua gadis yang bertelekung ini. Air muka
mereka berdua manis dan berseri. Berumur sekitar awal 20-an. Salah
seorang daripada mereka senyap sahaja, hanya Rasidah yang bersuara. Pada
pandangan Ramli, gadis-gadis ini bukan jelmaan makhluk halus. Bukan…
mereka bukan orang bunian !
”Tolonglah, bang. Puteri dah mimpi semalam ! Tok wan nak datang malam ni. Puteri dah janji dengan tok wan,” kata Rasidah lagi.
Puteri ? Siapa puteri ? Fikiran beliau semakin bercelaru. Siapakah
gadis-gadis ini sebenarnya ? Mengapa lain benar percakapan mereka ?
Lalu beliau cuba menakut-nakutkan mereka. En.Ramli katakan yang hutan
itu penuh dengan binatang buas. Di sekitar gunung itu sudah ramai orang
yang hilang nyawa diserang gajah meroyan, harimau, atau dipatuk ular,
kala jengking, bisa lipan bara dan binatang-binatang buas yang lain.
”Tak mengapa, bang. Tok wan ada, tok wan boleh halau
binatang-binatang tu. Puteri pun ada !” jawab Rasidah. Ah! En.Ramli
semakin terasa aneh dengan percakapan gadis ini. Siapa tok wan itu ?
Siapa pula puteri itu ?
Tiba-tiba, ada suara aneh hinggap ke telinga En.Ramli. Seakan ada
orang meniup-niup telinganya dan berulang kali suara itu menyebut Puteri
Delima. ”Puteri Delima. Puteri Delimaaaa !! ” beliau terpaku. Siapa
yang bercakap ? Darahnya mula berderau. Puteri Delima mana pula yang
hendak datang, fikirnya berulang.
”Sayalah Puteri Delima !” kata gadis yang duduk di sebelah Rasidah.
Gadis yang senyap sahaja dari tadi itu mulai bersuara. Matanya berkilat.
Kemudian dia tersenyum lebar dan ketawa terkekek-kekek. ”Ehh… ehheeee…!
Ehh… ehheeee… ! Saya nak jumpa tok wan ! Saya nak jumpa tok
waaaaaan!!!! ” kata gadis itu yang tidak putus-putus tersenyum dan
memandang Ramli.
En.Ramli tergamam. Terus dia benarkan gadis-gadis itu pergi ke Padang
Tok Sheikh kerana gadis-gadis ini bukan manusia biasa lagi. Mereka
sudah dirasuk bunian, beliau terpaksa tunaikan saja permintaan mereka.
Esoknya En.Ramli diberitahu rakan-rakannya, kedua-dua gadis tersebut
ada berjumpa dengan orang-orang yang bekerja di sekitar gunung itu.
Malam itu juga gadis-gadis tersebut telah dapat berjumpa dengan tok wan
yang dimaksudkannya. Dakwa kawan-kawan beliau, tok wan itu seorang
lelaki tua dan beserban hijau. Mereka berjumpa di Padang Tok Sheikh.
Peristiwa ini baru berlaku dua tiga tahun lepas.
Pada pengalaman En.Ramli, apa yang mereka lihat itu adalah kelibat
orang-orang bunian. Kawasan padang itu adalah salah satu daripada
penempatan orang-orang bunian tersebut. Hutan rimba di sekeliling padang
dan kawasan air terjun berdekatan juga adalah daerah kerajaan bunian.
Dahulu ada sekumpulan anak muda yang ternampak istana bunian di tepi
air terjun di situ. Mujur mereka cepat-cepat beredar. Kalau mereka masuk
ke kawasan istana itu, mungkin mereka semua akan hilang dibawa ke alam
ghaib.
Orang-orang bunian ini memang sungguh menawan paras rupa mereka. Yang
perempuan cantik, yang lelaki pula kacak. Ada para pemuda dan pemudi
yang mudah benar jatuh cinta apabila melihat makhluk-makhluk halus ini.
Mereka mengekori pemuda dan pemudi bunian itu ke dalam hutan dan
akhirnya, ramai yang telah tersesat. Malah ada yang terus hilang di
hutan rimba gunung itu, sampailah sekarang tidak ditemui.
En.Ramli sendiri selalu terlihat orang bunian yang masuk ke dalam
surau di puncak gunung itu. Di ketika yang lain, Ramli ternampak seorang
lelaki tua bunian yang berserban mengambil air sembahyang di perigi
yang ada di situ.
Sebenarnya En.Ramli sudah banyak melalui pengalaman dahsyat yang
dikatakan angkara makhluk-makhluk halus. Pada awal tahun 2000, ada
seorang lelaki berusia pertengahan umur 20-an telah hilang di gunung
itu. Jadi, beliau diminta untuk membantu usaha polis mencari pemuda
tersebut kerana dia cukup arif tentang kawasan pergunungan itu.
“Kita cari di sekitar air terjun dulu. Kalau tak jumpa juga, kita
redah hutan ni,” kata En.Ramli pada polis-polis tersebut. Tetapi sudah
hampir tiga hari, usaha mencarinya masih tidak membuahkan hasil. Tetap
buntu. Sehinggalah pihak polis terpaksa menggunakan anjing pengesan
untuk mencarinya.
Akhirnya, pemuda itu berjaya juga ditemui setelah hampir seminggu
dicari. Pemuda itu dijumpai di sekitar kawasan hutan yang tidak jauh
dari kawasan air terjun tadi.
Malang sekali, pemuda itu sudah tidak bernyawa lagi. Mayatnya ditemui
dalam keadaan sungguh mengerunkan. Kepalanya putus. Dia seakan diserang
oleh gergasi. Badannya berlumuran darah dan penuh luka. Cebisan
pakaiannya yang koyak rabak bersepah-sepah diserata tempat. Apa
sebenarnya yang telah terjadi ?
En.Ramli yakin ini bukan angkara binatang buas. Itu angkara bunian
kerana sebelumnya mereka sudah pun mencari di serata puncak gunung itu,
pemuda tersebut gagal ditemui. Tetapi mengapa beberapa hari kemudian
tiba-tiba sahaja mayatnya dijumpai berhampiran dengan air terjun itu ?
Mesti ada sebab yang lain.
En.Ramli percaya pemuda itu dibunuh dan disorok bunian. Lagipun,
kawasan air terjun itu dan hutan- hutan di sekitarnya adalah tempat
letaknya perkampungan bunian. Air terjun itu dipanggil tasik lima
beradik kerana ia adalah tempat lima orang puteri bunian bermandi-manda.
Puteri-puteri itu diceritakan terlalu cantik, tiada tandingan
berbanding kecantikan manusia. Sambil mandi, mereka ketawa
beramai-ramai.
Beliau juga selalu mengingatkan para pengunjung, andainya mereka
melihat lima puteri yang jelita itu, janganlah sesekali tergoda. Apatah
lagi cuba-cuba menyimpan hajat mendekati mereka. Sesiapa yang terpedaya,
nescaya akan lenyap ke alam bunian, kemudian hilang dari alam nyata.
Di pinggir air terjun pula, kata En.Ramli, terletaknya istana bunian.
Istana itu tersergam indah. Di sekelilingnya terdapat perkampungan
bunian. En.Ramli memberi amaran kepada pengunjung, jangan dekati istana
dan perkampungan itu. Silap langkah mereka akan di bawa masuk ke alam
bunian dan terus lenyap.
Ramli percaya, pemuda yang mati itu telah termasuk ke alam bunian
tersebut. Walaupun kematian pemuda itu disahkan akibat serangan binatang
buas, tapi Ramli kurang setuju. “Ini kerja bunian,” berkali-kali
dikatakan begitu.
Oleh kerana itulah En.Ramli selalu mengingatkan para pengunjung
supaya jangan cakap besar, takbur dan riak. Kalau tidak, nanti dapat
kecelakaan. Tambah lagi buat perkara-perkara yang tidak elok, bala
mungkin akan menimpa.
“kalau ada apa-apa perkara yang pelik berlaku, jangan tegur. Lebih
baik, diam ! Kalau ternampak benda-benda yang ganjil, tinggalkan. Ini
kampung bunian” pesan En.Ramli.
Gunung itu sering ‘mengambil nyawa’ manusia yang berniat tidak baik.
Mungkin ada benarnya ia angkara binatang buas, tapi bagi En.Ramli,
mungkin juga disebabkan orang bunian. Sama juga dengan kebanyakkan
kejadian orang mati lemas di kawasan air terjun di kaki gunung itu.
En.Ramli percaya semua itu angkara bunian.
Nama gunung itu, Gunung Jerai. Orang-orang di Gurun, Kedah Darul
Aman. Sentiasa berhati-hati apabila ke sana. Kalau ada orang luar yang
mahu ke gunung itu dan berjumpa En.Ramli, dia akan berpesan, “hati-hati.
Jangan main-main dengan pengunggu Gunung Jerai ini. Tempat ini keras ! “
No comments:
Post a Comment