KEPULAUAN Natuna adalah gugusan kepulauan yang berselerakan di tengah-tengah Laut China Selatan yang memisahkan Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak. Ia terletak lebih kurang 450km di utara pulau Singapura. Pulau terbesar di dalam gugusan kepulauan Natuna adalah Pulau Serindit atau nama lainnya, Pulau Bunguran.
Nama antarabangsa yang diiktiraf bagi Pulau
Bunguran ialah ‘Natuna’. Walaupun dikatakan terpencil, Kepulauan Natuna
terletak di kawasan laluan utama perdagangan antara Asia Timur dan Asia Barat.
Kedudukan
Kepulauan Natuna
Berpusatkan kota Ranai sebagai ibu negerinya, Kepulauan Natuna terdiri daripada 272 buah pulau yang terletak di barat laut Pulau Borneo. Mungkin terdapat sebahagian daripada kita yang bertanya; kenapakah kepulauan Natuna yang terletak di tengah-tengah Malaysia, bukan milik Malaysia?
Penduduk
Sehingga tahun 2010, dianggarkan penduduk di
Kabupaten (Regency) Natuna adalah sebanyak 69,003 orang, yang terdiri daripada
35,741 orang lelaki dan 33,262 perempuan. Lebih kurang 85% penduduk di sana
85.27% adalah berketurunan Melayu dan selainnya adalah berketurunan Jawa,
Sumatera dan Cina.
Bahasa pertuturan utama adalah Bahasa Melayu
dielek negeri Terengganu dan Islam adalah agama utama penduduk di Kabupaten
Natuna.
Sejarah
Sejarah Kepulauan Natuna tidak dapat
dipisahkan daripada pengaruh negeri-negeri di Tanah Melayu. Pemerintahan di
Natuna dikatakan bermula pada tahun 1597 yang didirikan hasil gabungan
penghijrahan kaum bangsawan Patani dan Johor. Pada sekitar kurun ke-16 iaitu
selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ke tangan Portugis, kerajaan Patani
dan Johor muncul sebagai kuasa baru di rantau Tanah Melayu.
Kuasa dan pengaruh kesultanan Patani dikatakan
lebih tertumpu di kawasan utara merangkumi negeri-negeri Terengganu, Kelantan,
Menara (Narathiwat) dan Jala (Yala) sebelum dijajah Siam pada kurun ke-18.
Manakala Kesultanan Johor pula menguasai kawasan selatan yang terdiri daripada
negeri Pahang, sebahagian pantai timur Sumatera dan kepulauan Riau.
Susur galur pemerintahan Patani di Natuna
bermula apabila salah seorang puteri berketurunan pemerintah asal Natuna
bernama Puteri Wan Seri Bulan yang telah berkahwin dengan Datuk Bendahara
Lingkai al-Fathani, seorang kerabat diRaja Patani. Zuriat dari pasangan ini
telah menjadi Datuk Kaya yang memegang teraju pemerintahan Natuna.
Selain dari itu, antara pemerintah yang
terkenal ialah Wan Muhammad al-Fathani yang berketurunan Orang Kaya Aling.
Baginda, yang juga digelar Orang Kaya Perdana
Mahkota telah berhubung dengan pihak Inggeris pada tahun 1848 apabila Penguasa
Tentera Inggeris bagi negeri-negeri Selat di Tanah Melayu, Leftenan Kolonel
Butterworth menghadiahkan sebuah meriam tembaga atas jasa baginda memberikan
bantuan kepada sebuah kapal milik pihak Inggeris yang pecah di sekitar pulau
Natuna pada 25 Januari 1848.
Sorotan sejarah pemerintahan dan kependudukan
awal bangsa Melayu di Natuna ini jelas menunjukkan bahawa kepulauan tersebut
mempunyai hubungan yang lebih erat dengan dengan negeri-negeri di Tanah Melayu
berbanding dengan kerajaan-kerajaan dari kepulauan Indonesia ataupun pihak
penjajah Belanda yang berpusat di Batavia (Jakarta).
Pemerintahan
Penjajah Barat Di Nusantara
Salah
satu pemandangan di Kepulauan Natuna.
Kepulauan Melayu (Nusantara) adalah gugusan kepulauan yang terbesar di dunia dan Pulau Natuna terletak di kawasan ini. Sejak zaman kerajaan Srivijaya lagi, iaitu bermula dari kurun ke-7 Masihi, kerajaan-kerajaan Melayu sangat aktif dalam bidang perdagangan dan kota-kota Melayu menjadi pusat pelabuhan yang penting, seperti Palembang, Melaka, Kotaraja (Aceh), Patani dan Brunei.
Kepulauan Melayu (Nusantara) adalah gugusan kepulauan yang terbesar di dunia dan Pulau Natuna terletak di kawasan ini. Sejak zaman kerajaan Srivijaya lagi, iaitu bermula dari kurun ke-7 Masihi, kerajaan-kerajaan Melayu sangat aktif dalam bidang perdagangan dan kota-kota Melayu menjadi pusat pelabuhan yang penting, seperti Palembang, Melaka, Kotaraja (Aceh), Patani dan Brunei.
Namun, kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu
dan kekayaan sumber-sumber alam kepulauan Melayu ini telah mengundang minat
penjajah Barat untuk datang menguasai rantau ini.. Kerajaan Melaka adalah
kerajaan yang pertama jatuh ke tangan penguasa Portugis pada tahun 1511.
Melaka kemudiannya dikuasai oleh Belanda pada
tahun 1641 sementara Bengkulu, yang terletak di Pulau Sumatera, dikuasai
Inggeris pada tahun 1685.
Perlumbaan dalam mengembangkan kuasa dan
pengaruh British dan Belanda di Kepulauan Melayu telah menimbulkan rasa tidak
puas hati antara kedua-dua kuasa penjajah tersebut.
Bagi menamatkan bibit-bibit konflik dan
mengekalkan hubungan baik British-Belanda, Perjanjian Inggeris-Belanda pada 17
Mac 1824 (Perjanjian 1824) telah dimetarai. Perjanjian ini telah membahagikan
‘Dunia Melayu’ di mana kedua kuasa tersebut secara sewenang-wenangnya melakarkan
‘peta kekuasaan’ masing-masing.
Artikel 10 Perjanjian ini berbunyi ‘Kota
Melaka diserahkan kepada Raja Inggeris, manakala Raja Belanda dan rakyatnya
tidak akan menubuhkan sebarang penempatan di Singapura dan Semenanjung Melaka
(Semenanjung Melayu)’. Artikel 9 Perjanjian 1824 mengiktiraf pengaruh Belanda
di Pulau Sumatera dan pulau-pulau di selatan pulau Singapura.
Dengan termeterainya perjanjian ini, pihak
British tidak akan membuka penempatan di pulau-pulau di selatan Singapura dan
Belanda juga tidak akan membuka penempatan di Semenanjung Melayu.
Perjanjian 1824 ini telah menjarah sempadan di
kepulauan Melayu dan kesannya kekal sehingga ke hari ini.
Kesan
Perjanjian 1824 ke Atas Kepulauan Natuna
Secara umum, boleh dikatakan bahawa Perjanjian
1824 tidak meletakkan kepulauan Natuna dengan jelas sama ada di bawah pengaruh
Inggeris atau Belanda.
Akan tetapi, Perjanjian 1824 ada mengatakan
yang Belanda tidak akan menubuhkan penempatan di utara pulau Singapura dan
Semenanjung Melayu yang diiktiraf sebagai wilayah British.
Wilayah Belanda adalah di pulau Sumatera dan
pulau-pulau di selatan pulau Singapura. Dari sudut geografi, Kepulauan Natuna
bukanlah gugusan kepulauan yang terletak di selatan pulau Singapura.
Kepulauan
Natuna Sebagai Wilayah di Dalam Indonesia
Kepulauan Natuna telah dimasukkan sebagai
salah sebuah wilayah di dalam Republik Indonesia berdasarkan Surat Keputusan
Delegasi Republik Indonesia, Provinsi Sumatera Tengah bertarikh 18 Mei 1956.
Kabupaten Natuna kemudiannya telah ditubuhkan
di dalam Provinsi Kepulauan Riau berdasarkan Undang-undang No. 53 Tahun 1999
yang telah dikuatkuasakan pada 12 Oktober 1999.
Namun, jika dilihat pada peta Asia Tenggara,
jelas menunjukkan bahawa Kepuluan Natuna secara semulajadinya terletak sejajar
dengan lokasi negeri Terengganu, sekiranya garis lurus dilukis dari pesisir
negeri berkenaan ke arah timur.
Sempadan Indonesia jelas melengkung ke atas
dan bukanlah dalam satu garisan yang lurus.
Kepulauan Natuna menjadi salah satu aset utama
dalam menjadikan Indonesia sebagai sebuah negara kepulauan terbesar di dunia.
Dalam melukis garis kepulauan bagi membentuk
perairan kepulauan, satu garis melengkung telah dilukis dari Pulau Bintan ke
arah utara menyambung Kepulauan Anambas dan seterusnya Kepulauan Natuna sebelum
garis ini melengkung ke bawah untuk bersambung dengan provinsi Kalimantan
Barat.
Berdasarkan sumber sejarah, adalah munasabah
untuk mengatakan Kepulauan Natuna tidak banyak mempunyai perkaitan dengan
negara Indonesia. Kepulauan Natuna berbeza dengan tanah jajahan Belanda yang
lain di Indonesia seperti Pulau Sumatera, Pulau Jawa, Nusa Tenggara, Makassar
dan Papua.
Wilayah-wilayah ini yang menjadi milik
Indonesia yang mewarisinya daripada bekas penjajahnya, Belanda apabila
Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945. Konsep yang wujud di dalam
undang-undang antarabangsa ini dipanggil utti possideti juris.
Semasa Perjanjian 1824 dibuat, kepulauan
Natuna masih lagi di bawah pengaruh kesultanan Melayu menerusi pemerintahan
Baginda Wan Muhammad al-Fathani. Juga, Perjanjian 1824 tidak secara jelas
meletakkan kepulauan Natuna di bawah pengaruh Belanda.
Malah, sekiranya Perjanjian 1824 diteliti,
Belanda tidak berhak membuka penempatan di mana-mana kawasan di utara pulau
Singapura yang jelas berada di dalam kawasan pengaruh British.
Secara logiknya, memandangkan kepulauan Natuna
masih berada di dalam wilayah lingkup kerajaan Johor saat Perjanjian 1824
ditandantangani, ianya patut berada di bawah pengaruh British, yang menjadi
penaung bagi kesultanan Johor pada ketika itu.
Oleh itu, mungkin timbul hujah yang mengatakan
kepulauan Natuna sepatutnya berada bersama Malaysia apabila kesultanan Johor
merdeka di dalam Persekutuan Malaya pada tahun 1957 menerusi konsep utti
possideti juris.
Pulau Natuna Besar
Tuntutan
ke Atas Kepulauan Natuna
Indonesia secara rasmi memasukkan kepulauan
Natuna sebagai wilayahnya pada tahun 1956, setahun sebelum Tanah Melayu
(Malaysia) mencapai kemerdekaan dan 6 tahun sebelum berlakunya Konfrontasi
Malaysia dengan Indonesia.
Tanah Melayu pada ketika itu masih lagi
diperintah British dan belum lagi menjadi sebuah negara berdaulat bagi menuntut
ketuanan ke atas kepulauan Natuna. Walaupun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan
pada tahun 1957 dan menjadi Malaysia pada tahun 1963, Konfrontasi
Malaysia-Indonesia yang berlaku pada tahun 1962-1966 berkemungkinan telah
mengalih pandangan pemerintah Malaysia pada ketika itu yang lebih menumpukan
untuk menamatkan konflik dengan Indonesia.
Manakala Indonesia pula memerlukan kepulauan
Natuna supaya garis kepulauan dapat dilukis menghubungkan pulau-pulau di dalam
Indonesia bagi mencipta sebuah lingkungan laut kepulauan bagi memenuhi
hasratnya menjadi sebuah negara kepulauan (Archipelagic State) berdasarkan
undang-undang laut antarabangsa.
Makanya, besar kemungkinan, atas dasar ingin
menamatkan konfrantasi dan berbaik-baik dengan jiran serumpun, isu tuntutan
kedaulatan ke atas kepulauan Natuna mungkin tidak menjadi keutamaan pemerintah
Malaysia pada ketika itu. Sehingga kini, Malaysia mengiktiraf kedudukan
kepulauan Natuna sebagai sebuah wilayah dalam negara kepulauan republik
Indonesia.
Di bawah konsep undang-undang antarabangsa,
sesebuah wilayah itu boleh diperolehi oleh sesebuah kerajaan atau kuasa
pemerintah melalui empat cara iaitu perluasan wilayah melalui cara semulajadi
(accretion), penyerahan wilayah (cession), penjajahan, dan effective occupation
ataupun prescription.
Prescription merujuk kepada tindakan sebuah
negara yang mezahirkan kedaulatan dengan cara mengamalkan penguasaan ke atas
wilayah tertentu tanpa dibantah oleh negara-negara lain.
Berdasarkan fakta ini, boleh dikatakan bahawa
Indonesia telah menguasai Pulau Natuna selama 56 tahun tanpa bantahan dari
Malaysia sejak tahun 1956.
Oleh yang demikian, adalah sukar untuk ketika
ini bagi Malaysia menuntut hak kedaulatan ke atas kepulauan Natuna walaupun
berdasarkan fakta geografi dan sejarah, kepulauan Natuna memang mempunyai
pertalian yang kuat dengan negeri-negeri di Semenanjung Melayu.
Kesimpulan
Fakta-fakta sejarah jelas menunjukkan
kepulauan Natuna mempunyai perkaitan yang lebih jelas dan kukuh dengan
negeri-negeri Tanah Melayu berbanding kerajaan-kerajaan awal di kepulauan
Indonesia.
Akan tetapi, tiada tuntutan konsisten pernah
dilakukan oleh Malaysia dan kependudukan Indonesia di kepulauan Natuna tidak
pernah dibantah oleh Malaysia.
Kedaulatan Indonesia ke atasnya telah mencipta
ruang lingkup wilayah Indonesia yang membelah Malaysia kepada dua bahagian.
Sehingga kini, kepulauan Natuna kekal sebagai sebuah wilayah Indonesia walaupun
yang secara geografinya, kedudukan kepulauan tersebut lebih sejajar dengan
kedudukan Malaysia.
Artikel
ini disumbangkan Oleh MOHD HAZMI MOHD RUSLI (Ph. D) pensyarah kanan di
Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang Felo Bersekutu di Institut
Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu. MOHD AFANDI SALLEH
(Ph.D) seorang pensyarah kanan Universiti Sultan Zainal Abidin dan seorang Felo
Bersekutu di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu
dan WAN IZATUL ASMA WAN TALAAT (Ph. D), seorang profesor madya di Institut
Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu. Via Mstar Online