Friday 7 March 2014

Penemuan Makhluk Misteri Pulau Natuna, Milik Indonesia Atau Malaysia



KEPULAUAN Natuna adalah gugusan kepulauan yang berselerakan di tengah-tengah Laut China Selatan yang memisahkan Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak. Ia terletak lebih kurang 450km di utara pulau Singapura. Pulau terbesar di dalam gugusan kepulauan Natuna adalah Pulau Serindit atau nama lainnya, Pulau Bunguran.
Nama antarabangsa yang diiktiraf bagi Pulau Bunguran ialah ‘Natuna’. Walaupun dikatakan terpencil, Kepulauan Natuna terletak di kawasan laluan utama perdagangan antara Asia Timur dan Asia Barat.
Kedudukan Kepulauan Natuna



Berpusatkan kota Ranai sebagai ibu negerinya, Kepulauan Natuna terdiri daripada 272 buah pulau yang terletak di barat laut Pulau Borneo. Mungkin terdapat sebahagian daripada kita yang bertanya; kenapakah kepulauan Natuna yang terletak di tengah-tengah Malaysia, bukan milik Malaysia?
Penduduk
Sehingga tahun 2010, dianggarkan penduduk di Kabupaten (Regency) Natuna adalah sebanyak 69,003 orang, yang terdiri daripada 35,741 orang lelaki dan 33,262 perempuan. Lebih kurang 85% penduduk di sana 85.27% adalah berketurunan Melayu dan selainnya adalah berketurunan Jawa, Sumatera dan Cina.
Bahasa pertuturan utama adalah Bahasa Melayu dielek negeri Terengganu dan Islam adalah agama utama penduduk di Kabupaten Natuna.
Sejarah
Sejarah Kepulauan Natuna tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh negeri-negeri di Tanah Melayu. Pemerintahan di Natuna dikatakan bermula pada tahun 1597 yang didirikan hasil gabungan penghijrahan kaum bangsawan Patani dan Johor. Pada sekitar kurun ke-16 iaitu selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ke tangan Portugis, kerajaan Patani dan Johor muncul sebagai kuasa baru di rantau Tanah Melayu.
Kuasa dan pengaruh kesultanan Patani dikatakan lebih tertumpu di kawasan utara merangkumi negeri-negeri Terengganu, Kelantan, Menara (Narathiwat) dan Jala (Yala) sebelum dijajah Siam pada kurun ke-18. Manakala Kesultanan Johor pula menguasai kawasan selatan yang terdiri daripada negeri Pahang, sebahagian pantai timur Sumatera dan kepulauan Riau.
Susur galur pemerintahan Patani di Natuna bermula apabila salah seorang puteri berketurunan pemerintah asal Natuna bernama Puteri Wan Seri Bulan yang telah berkahwin dengan Datuk Bendahara Lingkai al-Fathani, seorang kerabat diRaja Patani. Zuriat dari pasangan ini telah menjadi Datuk Kaya yang memegang teraju pemerintahan Natuna.
Selain dari itu, antara pemerintah yang terkenal ialah Wan Muhammad al-Fathani yang berketurunan Orang Kaya Aling.
Baginda, yang juga digelar Orang Kaya Perdana Mahkota telah berhubung dengan pihak Inggeris pada tahun 1848 apabila Penguasa Tentera Inggeris bagi negeri-negeri Selat di Tanah Melayu, Leftenan Kolonel Butterworth menghadiahkan sebuah meriam tembaga atas jasa baginda memberikan bantuan kepada sebuah kapal milik pihak Inggeris yang pecah di sekitar pulau Natuna pada 25 Januari 1848.
Sorotan sejarah pemerintahan dan kependudukan awal bangsa Melayu di Natuna ini jelas menunjukkan bahawa kepulauan tersebut mempunyai hubungan yang lebih erat dengan dengan negeri-negeri di Tanah Melayu berbanding dengan kerajaan-kerajaan dari kepulauan Indonesia ataupun pihak penjajah Belanda yang berpusat di Batavia (Jakarta).


Pemerintahan Penjajah Barat Di Nusantara
Salah satu pemandangan di Kepulauan Natuna.
Kepulauan Melayu (Nusantara) adalah gugusan kepulauan yang terbesar di dunia dan Pulau Natuna terletak di kawasan ini. Sejak zaman kerajaan Srivijaya lagi, iaitu bermula dari kurun ke-7 Masihi, kerajaan-kerajaan Melayu sangat aktif dalam bidang perdagangan dan kota-kota Melayu menjadi pusat pelabuhan yang penting, seperti Palembang, Melaka, Kotaraja (Aceh), Patani dan Brunei.
Namun, kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu dan kekayaan sumber-sumber alam kepulauan Melayu ini telah mengundang minat penjajah Barat untuk datang menguasai rantau ini.. Kerajaan Melaka adalah kerajaan yang pertama jatuh ke tangan penguasa Portugis pada tahun 1511.
Melaka kemudiannya dikuasai oleh Belanda pada tahun 1641 sementara Bengkulu, yang terletak di Pulau Sumatera, dikuasai Inggeris pada tahun 1685.
Perlumbaan dalam mengembangkan kuasa dan pengaruh British dan Belanda di Kepulauan Melayu telah menimbulkan rasa tidak puas hati antara kedua-dua kuasa penjajah tersebut.
Bagi menamatkan bibit-bibit konflik dan mengekalkan hubungan baik British-Belanda, Perjanjian Inggeris-Belanda pada 17 Mac 1824 (Perjanjian 1824) telah dimetarai. Perjanjian ini telah membahagikan ‘Dunia Melayu’ di mana kedua kuasa tersebut secara sewenang-wenangnya melakarkan ‘peta kekuasaan’ masing-masing.
Artikel 10 Perjanjian ini berbunyi ‘Kota Melaka diserahkan kepada Raja Inggeris, manakala Raja Belanda dan rakyatnya tidak akan menubuhkan sebarang penempatan di Singapura dan Semenanjung Melaka (Semenanjung Melayu)’. Artikel 9 Perjanjian 1824 mengiktiraf pengaruh Belanda di Pulau Sumatera dan pulau-pulau di selatan pulau Singapura.
Dengan termeterainya perjanjian ini, pihak British tidak akan membuka penempatan di pulau-pulau di selatan Singapura dan Belanda juga tidak akan membuka penempatan di Semenanjung Melayu.
Perjanjian 1824 ini telah menjarah sempadan di kepulauan Melayu dan kesannya kekal sehingga ke hari ini.
Kesan Perjanjian 1824 ke Atas Kepulauan Natuna
Secara umum, boleh dikatakan bahawa Perjanjian 1824 tidak meletakkan kepulauan Natuna dengan jelas sama ada di bawah pengaruh Inggeris atau Belanda.
Akan tetapi, Perjanjian 1824 ada mengatakan yang Belanda tidak akan menubuhkan penempatan di utara pulau Singapura dan Semenanjung Melayu yang diiktiraf sebagai wilayah British.
Wilayah Belanda adalah di pulau Sumatera dan pulau-pulau di selatan pulau Singapura. Dari sudut geografi, Kepulauan Natuna bukanlah gugusan kepulauan yang terletak di selatan pulau Singapura.
Kepulauan Natuna Sebagai Wilayah di Dalam Indonesia
Kepulauan Natuna telah dimasukkan sebagai salah sebuah wilayah di dalam Republik Indonesia berdasarkan Surat Keputusan Delegasi Republik Indonesia, Provinsi Sumatera Tengah bertarikh 18 Mei 1956.
Kabupaten Natuna kemudiannya telah ditubuhkan di dalam Provinsi Kepulauan Riau berdasarkan Undang-undang No. 53 Tahun 1999 yang telah dikuatkuasakan pada 12 Oktober 1999.
Namun, jika dilihat pada peta Asia Tenggara, jelas menunjukkan bahawa Kepuluan Natuna secara semulajadinya terletak sejajar dengan lokasi negeri Terengganu, sekiranya garis lurus dilukis dari pesisir negeri berkenaan ke arah timur.
Sempadan Indonesia jelas melengkung ke atas dan bukanlah dalam satu garisan yang lurus.
Kepulauan Natuna menjadi salah satu aset utama dalam menjadikan Indonesia sebagai sebuah negara kepulauan terbesar di dunia.
Dalam melukis garis kepulauan bagi membentuk perairan kepulauan, satu garis melengkung telah dilukis dari Pulau Bintan ke arah utara menyambung Kepulauan Anambas dan seterusnya Kepulauan Natuna sebelum garis ini melengkung ke bawah untuk bersambung dengan provinsi Kalimantan Barat.
Berdasarkan sumber sejarah, adalah munasabah untuk mengatakan Kepulauan Natuna tidak banyak mempunyai perkaitan dengan negara Indonesia. Kepulauan Natuna berbeza dengan tanah jajahan Belanda yang lain di Indonesia seperti Pulau Sumatera, Pulau Jawa, Nusa Tenggara, Makassar dan Papua.
Wilayah-wilayah ini yang menjadi milik Indonesia yang mewarisinya daripada bekas penjajahnya, Belanda apabila Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945. Konsep yang wujud di dalam undang-undang antarabangsa ini dipanggil utti possideti juris.
Semasa Perjanjian 1824 dibuat, kepulauan Natuna masih lagi di bawah pengaruh kesultanan Melayu menerusi pemerintahan Baginda Wan Muhammad al-Fathani. Juga, Perjanjian 1824 tidak secara jelas meletakkan kepulauan Natuna di bawah pengaruh Belanda.
Malah, sekiranya Perjanjian 1824 diteliti, Belanda tidak berhak membuka penempatan di mana-mana kawasan di utara pulau Singapura yang jelas berada di dalam kawasan pengaruh British.
Secara logiknya, memandangkan kepulauan Natuna masih berada di dalam wilayah lingkup kerajaan Johor saat Perjanjian 1824 ditandantangani, ianya patut berada di bawah pengaruh British, yang menjadi penaung bagi kesultanan Johor pada ketika itu.
Oleh itu, mungkin timbul hujah yang mengatakan kepulauan Natuna sepatutnya berada bersama Malaysia apabila kesultanan Johor merdeka di dalam Persekutuan Malaya pada tahun 1957 menerusi konsep utti possideti juris.




Pulau Natuna Besar
Tuntutan ke Atas Kepulauan Natuna
Indonesia secara rasmi memasukkan kepulauan Natuna sebagai wilayahnya pada tahun 1956, setahun sebelum Tanah Melayu (Malaysia) mencapai kemerdekaan dan 6 tahun sebelum berlakunya Konfrontasi Malaysia dengan Indonesia.
Tanah Melayu pada ketika itu masih lagi diperintah British dan belum lagi menjadi sebuah negara berdaulat bagi menuntut ketuanan ke atas kepulauan Natuna. Walaupun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan menjadi Malaysia pada tahun 1963, Konfrontasi Malaysia-Indonesia yang berlaku pada tahun 1962-1966 berkemungkinan telah mengalih pandangan pemerintah Malaysia pada ketika itu yang lebih menumpukan untuk menamatkan konflik dengan Indonesia.
Manakala Indonesia pula memerlukan kepulauan Natuna supaya garis kepulauan dapat dilukis menghubungkan pulau-pulau di dalam Indonesia bagi mencipta sebuah lingkungan laut kepulauan bagi memenuhi hasratnya menjadi sebuah negara kepulauan (Archipelagic State) berdasarkan undang-undang laut antarabangsa.
Makanya, besar kemungkinan, atas dasar ingin menamatkan konfrantasi dan berbaik-baik dengan jiran serumpun, isu tuntutan kedaulatan ke atas kepulauan Natuna mungkin tidak menjadi keutamaan pemerintah Malaysia pada ketika itu. Sehingga kini, Malaysia mengiktiraf kedudukan kepulauan Natuna sebagai sebuah wilayah dalam negara kepulauan republik Indonesia.
Di bawah konsep undang-undang antarabangsa, sesebuah wilayah itu boleh diperolehi oleh sesebuah kerajaan atau kuasa pemerintah melalui empat cara iaitu perluasan wilayah melalui cara semulajadi (accretion), penyerahan wilayah (cession), penjajahan, dan effective occupation ataupun prescription.
Prescription merujuk kepada tindakan sebuah negara yang mezahirkan kedaulatan dengan cara mengamalkan penguasaan ke atas wilayah tertentu tanpa dibantah oleh negara-negara lain.
Berdasarkan fakta ini, boleh dikatakan bahawa Indonesia telah menguasai Pulau Natuna selama 56 tahun tanpa bantahan dari Malaysia sejak tahun 1956.
Oleh yang demikian, adalah sukar untuk ketika ini bagi Malaysia menuntut hak kedaulatan ke atas kepulauan Natuna walaupun berdasarkan fakta geografi dan sejarah, kepulauan Natuna memang mempunyai pertalian yang kuat dengan negeri-negeri di Semenanjung Melayu.
Kesimpulan
Fakta-fakta sejarah jelas menunjukkan kepulauan Natuna mempunyai perkaitan yang lebih jelas dan kukuh dengan negeri-negeri Tanah Melayu berbanding kerajaan-kerajaan awal di kepulauan Indonesia.
Akan tetapi, tiada tuntutan konsisten pernah dilakukan oleh Malaysia dan kependudukan Indonesia di kepulauan Natuna tidak pernah dibantah oleh Malaysia.
Kedaulatan Indonesia ke atasnya telah mencipta ruang lingkup wilayah Indonesia yang membelah Malaysia kepada dua bahagian. Sehingga kini, kepulauan Natuna kekal sebagai sebuah wilayah Indonesia walaupun yang secara geografinya, kedudukan kepulauan tersebut lebih sejajar dengan kedudukan Malaysia.
Artikel ini disumbangkan Oleh MOHD HAZMI MOHD RUSLI (Ph. D) pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang Felo Bersekutu di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu. MOHD AFANDI SALLEH (Ph.D) seorang pensyarah kanan Universiti Sultan Zainal Abidin dan seorang Felo Bersekutu di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu dan WAN IZATUL ASMA WAN TALAAT (Ph. D), seorang profesor madya di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu. Via Mstar Online

5 Bangunan Menyeramkan Di Malaysia

1. Apartment Riviera II, Cheras

1

Sekitar akhir tahun 1990-an, apartment ini menempatkan pelajar-pelajar asrama beberapa buah universiti dan juga orang ramai, termasuk warga asing.

Ketika para pelajar baru ditempatkan, tiada apa yang tidak kena dengan bangunan ini. Kegiatan pelajar berjalan rancak meliputi aktiviti keagamaan, pembelajaran dan kecergasan. Bangunan diselenggarakan dengan baik, malah ramai pelajar sering menggunakan kolam renang di bahagian tengah apartment untuk mandi-manda.
Tahun demi tahun, keadaan mula berubah. Bangunan apartment yang dulunya ceria, menjadi semakin suram. Khabar angin bertiup kencang, bahawa bangunan ini menjadi tempat para pelajar berduaan dan melakukan aktiviti maksiat. Sejak semua ini berlaku, semakin banyak kejadian mistik mula berlaku di apartment tersebut.
Menaiki atau menuruni bangunan menggunakan lif menjadi sesuatu yang menakutkan, terutamanya di waktu malam. Kadangkala butang menyala sendiri lantas lif berhenti di tingkat-tingkat tak berpenghuni. Kadangkala muncul pula entiti yang tidak diingini sebaik saja pintu lif terbuka di tingkat-tingkat yang tidak ditekan oleh pelajar. Menaiki tangga pula bakal terserempak dengan entiti lain. Kebanyakan hanya berharap nasib mereka baik tidak bertemu dengan entiti setiap kali menggunakan lif.
Dikhabarkan, banyak kejadian mistik berlaku di apartment ini, sehingga jumlah penghuni kian berkurangan. Selenggaraan bangunan semakin diabaikan, air dalam kolam renang menjadi semakin keruh dan perabot semakin rosak. Kejadian histeria dan rasukan berlaku dengan kerap, sehinggalah pada suatu hari, salah seorang pelajar perempuan dikatakan terjun dari tingkat lima kerana mendengar suara aneh yang memintanya berbuat demikian. Kecederaan pelajar tersebut agak serius, sehingga memaksa pihak pengurusan mengosongkan bangunan tersebut kira-kira enam tahun lalu.
Kini bangunan Apartment Riviera II, Taman Kencana, Cheras hanya tinggal bangunan, tiada siapa pun berani menghuninya. Ia semakin suram dan menyeramkan walaupun dilihat dari jauh pada waktu siang. Hanya kumpulan penyiasat paranormal tempatan yang melawat sekali-sekala menceritakan pengalaman seram mereka sewaktu di sana.

2. Rumah Deposit RM 50 Seksyen 2, Shah Alam

2

Rumah sewa ini sering diperkatakan, terutamanya sewaktu penulis masih belajar di sebuah universiti di Shah Alam. Ramai yang menganggap ia sekadar legenda urban, dan ada yang mengatakan rumah tersebut memang wujud. Khabarnya, penyewa yang menyewa di rumah tersebut akan diganggu dan biasanya akan berpindah keluar selepas hanya sehari atau dua hari.
Walaupun terdapat pelbagai cerita mengenai rumah tersebut, masih ramai yang cuba hendak menyewa. Mungkin kerana depositnya hanya RM 50? Tuan rumah dikatakan sering menolak sekiranya ada yang hendak menyewa, tetapi kebanyakannya tetap berkeras mahu mencuba. Biasanya jumlah penyewa yang ramai menyebabkan ada yang berani menanggung risiko. Kalau ramai, apa yang hendak ditakutkan bukan?
Namun begitu, percubaan mereka berakhir mengecewakan. Pernah satu kumpulan tabligh cuba menyewa rumah tersebut. Pada hari pertama, di waktu maghrib, mereka duduk berkeliling dan berdoa, secara tiba-tiba satu kepala manusia jatuh di tengah-tengah mereka. Kesemua anggota tabligh terus lari keluar dari rumah tersebut dan tidak pulang lagi.
Cerita yang paling terkenal tentang rumah ini ialah cerita salah seorang penyewa yang pada masa itu berjumlah sepuluh orang. Dua orang dari mereka telah meratakan sedikit busut yang betul-betul berada di belakang pintu dapur. Akibatnya, mereka mula diganggu. Ada antara mereka yang kaki direntap sewaktu sedang tidur sehingga jatuh katil.
Ada pula yang terjumpa batu nesan di atas katil, serta diganggu suara perempuan ketawa mengilai.
Kisah penyewa ini berakhir malang apabila diganggu sehingga dua orang yang meratakan busut telah meninggal dunia, seorang akibat kemalangan semasa lari keluar dari rumah tersebut, dan seorang lagi jatuh sakit selepas itu.
Apa sejarah rumah ini? Khabarnya ia ialah rumah seorang pengamal sihir. Satu ketika dahulu, keluarga pengamal sihir ini dijumpai mati dibunuh di rumah tersebut.
Sehingga kini tidak dapat dipastikan di mana lokasi sebenar rumah tersebut, yang dikatakan berdekatan dengan sebuah taman tema air yang terletak di Seksyen 3, Shah Alam.

3. Kemayan City, Johor Bahru

3
  
Sebenarnya bangunan Kemayan City, bolehlah dikatakan sebagai satu projek ‘gajah putih’. Ia pada asalnya hendak dibina sebagai salah satu pusat membeli belah di Johor Bahru sekitar 90’an, namun pembinaannya tergendala apabila berlaku kemelesetan ekonomi pada tahun 1998.
Selepas ekonomi kembali pulih, bangunan itu terbiar begitu saja. Ada yang mengatakan ia menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian, dan ada juga pasangan yang mengambil kesempatan duduk berduaan di situ. Khabarnya, ada juga penagih dikatakan cuba mencuri kabel elektrik di situ, malang sekali mereka terkena renjatan elektrik dan meninggal dunia.
Sebelum ini tersebar juga cerita mengenai keluarga dari Singapura yang lalu di hadapan bangunan itu melihatnya begitu meriah, dengan lampu warna warni terpasang dan dipenuhi begitu ramai pengunjung. Keluarga ini telah masuk ke bangunan itu, membeli belah dan makan.
Setelah beredar, mereka singgah di rumah saudara dan menceritakan pengalaman membeli belah di situ. Kemudian barulah mereka tahu yang Kemayan City hanyalah bangunan kosong yang terbengkalai. Barang yang telah mereka beli di situ hilang begitu saja manakala baki wang yang didapati bertukar menjadi daun kering.
Kata orang arif, ia adalah kerja syaitan yang mahu melekakan dan menyesatkan manusia. Mungkin ada benarnya.

4. Rumah Banglo Jalan Turi, Bangsar

1

Sebelum dirobohkan
2
Gambar terkini( Setelah dirobohkan)
Rumah ini pernah mendapat liputan meluas sekitar tahun 1992, apabila dua orang kanak-kanak lelaki dan pembantu rumah (kesemuanya warga asing) yang menghuni rumah itu telah dibunuh oleh seorang pengawal keselamatan. Pembunuhan mereka dikatakan dilaksanakan secara kejam, dan mayat mereka dicampak dan disembunyikan dalam lubang najis di belakang rumah.
Akibat perbuatannya, pengawal keselamatan itu telah dijatuhkan dan menjalani hukuman mati. Namun cerita itu tidak berakhir begitu saja.
Rumah banglo itu terbiar tidak berpenghuni apabila pemiliknya pulang ke negara asal. Keadaan rumah tersebut menjadi semakin daif kerana tiada siapa berani tinggal di situ. Perabot telah musnah dan keadaan rumah semakin uzur. Biarpun begitu, acap kali diberitakan orang ramai yang melawat rumah itu atau lalu lalang di bahagian hadapan terlihat bayangan dua orang budak dan juga wanita di situ, terutamanya waktu senja.
Kini, rumah itu telah dirobohkan sepenuhnya. Oleh siapa, tidak pula diketahui. Yang tinggal hanya serpihan rumah saja. Namun bila melihat runtuhan rumah saja pun, seseorang itu masih boleh berasa seram.

5. Penjara Pudu

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Antara yang tempat yang terkenal sebagai tempat yang menyeramkan, ialah Penjara Pudu yang terletak di Jalan Hang Tuah. Bangunan penjara itu menempatkan bukan saja banduan biasa malah banduan akhir.
Antara cerita mengenai Penjara Pudu ialah mengenai seorang detektif yang sedang menyoal siasat seorang banduan wanita sekitar tahun 60’an. Sewaktu sedang menyoal siasat secara tiba-tiba kepala wanita tadi terjatuh dan bergolek ke pintu bilik.
Detektif tersebut telah lari keluar dan mendapati sebenarnya dia tidak menyoal siasat sesiapa pun. Banduan wanita tersebut sebenarnya tidak wujud di penjara itu.
Kini Penjara Pudu telah diruntuhkan sepenuhnya dan proses pembinaan bangunan baru sedang dijalankan. Khabarnya sebuah pusat membeli-belah akan dibina di situ.

Misteri: 10 Kes ‘Belum Selesai’ Di Malaysia

Isu jenayah seringkali menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat. Namun, pernahkah anda sedari bahawa ada sesetengah isu yang masih menjadi misteri hingga ke hari ini. Spanbasah ingin berkongsi 10 kes misteri di Malaysia yang masih menjadi persoalan hingga ke hari ini.
10. Kematian Ratu Cantik
jean
Jean Perrera Sinappa merupakan bekas ratu cantik di mana suaminya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Tetapi 4 bulan kemudian iaitu pada 6 April 1979, dia dijumpai mati di dalam kereta di Lebuhraya Persekutuan, Kuala Lumpur. Bekas teman lelaki yang juga abang iparnya, Karthigesu dijumpai tidak sedarkan diri di tepi jalan luar kereta tersebut. Apabila Karthigesu sedar di hospital, dia mengadu dipukul di bahagian kepala dari arah belakang.
Keputusan mahkamah mendapati Karthigesu didapati bersalah membunuh Jean dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Pihak pendakwaan mengemukakan kes di mana Karthigesu dilihat cemburu apabila mendapati Jean mempunyai hubungi sulit dengan doktor di Sri Lanka, Dr Narada Warnasurya. Bagaimanapun, Karthigesu dibebaskan dua tahun selepas rayuannya diluluskan di Mahkamah Rayuan.
9. Mana Anak Saya?
cari_sharlinie

Beberapa tahun lalu, berita tentang kehilangan kanak-kanak menjadi berita utama di media tempatan. Bagaimanapun, kisah kematian Sharlinie Mohd Nashar lama dimainkan media sebelum ia menjadi suram.
Pada 9 Januari 2008, Sharlinie, 5, bermain di taman permainan di kawasan rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya bersama kakaknya sebelum dia didapati hilang. Masyarakat mula memandang serius laporan tersebut apabila wujud watak ‘lelaki kucing’ setelah suspek dikatakan meminta mangsa mencari kucingnya yang hilang.vKehilangan Sharlinie terus menjadi isu hangat dalam media tempatan apabila kes itu timbul ketika kes kehilangan Nurin Jazlin Jazimin masih lagi panas.
Polis yang meneruskan siasatan dilihat semakin ‘dingin’ dan kehilangannya masih lagi tidak diketahui hingga ke hari ini.
8. Kematian Gadis Yang Merobek Jutaan Hati
nurin
20 Ogos 2007, Nurin Jazlin Jazimin, 8, telah pergi ke sebuah pasaraya berdekatan rumahnya untuk membeli klip rambut sebelum di dilaporkan hilang. Saksi kejadian berkata dia diculik dan dibawa masuk ke dalam sebuah van berwarna putih di Wangsa Maju. Kehilangan gadis itu mendapat liputan media yang luar biasa hinggakan nama dan mukanya boleh dikatakan tersemat di fikiran setiap rakyat Malaysia pada ketika itu. Ratapan sedih keluarga yang mengharapkan dia pulang ke pangkuan keluarga telah menyentuh hati ramai pihak di mana rakyat Malaysia terus memanjatkan doa supaya dia pulang dengan selamat.
Sebulan selepas itu, seorang kanak-kanak dijumpai mati dalam keadaan berbogel di dalam sebuah beg gim di Petaling Jaya. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah memberi sedikit sebanyak maklumat berkenaan suspek yang membuang beg tersebut. Keluarga Nurin gagal untuk membuat pengecaman mayat akibat kecederaan teruk yang dialami mangsa. Namun, ujian DNA mengesahkan mayat tersebut adalah Nurin, kepada pasangan tersebut. Seorang wanita Indonesia kemudiannya ditahan berkenaan kes tersebut tetapi kes itu masih belum diselesaikan.
7. Apabila Keseronokan Bertukar Kematian
noritta_samsudin-1
Norita Samsuddin, 22, merupakan seorang anak gadis yang berasal dari negeri utara tanah air yang mencuba nasib di kota raya, Kuala Lumpur. Mempunyai susuk tubuh yang menarik, dia dikatakan menerima beberapa tawaran sebagai peragawati namun menolaknya apabila dia ketika itu bekerja sebagai eksekutif pemasaran di Transpro Sdn Bhd sebelum dia dijumpai mati.
5 Disember 2003, Norita dijumpai mati di dalam bilik di sebuah pangsapuri mewah di Sri Hartamas, Kuala Lumpur. Mangsa dijumpai dalam keadaan berbogel dan tangannya diikat menggunakan baju dalam dan beberapa wayar. Tiada sebarang tanda dia dicederakan kecuali kesan cekik di lehernya dan beberapa cebisan baju di dalam mulutnya. Jurutera, Hanif Basri kemudiannya ditahan dan dituduh membunuh mangsa. Hanif dipercayai orang terakhir yang menjumpai Norita pada malam tersebut dan pihak pendakwaan cuba membuktikan dia adalah orang terakhir menjumpai mangsa ketika mangsa masih hidup.
Bagaimanapun, semasa perbicaraan berlangsung, dipercayai ada orang lain telah melawat Norita selepas Hanif. Pertuduhan terhadap Hanif dilihat terlalu lemah. Hanif dibebaskan selepas timbulnya teori konspirasi berkaitan kehidupan sosial Norita selama ini. Mungkin segala yang benar telah dikuburkan bersama Norita.
6. Benarkah Pelayan Yang Melakukannya?
6.norjan
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Keusahawanan Negeri Sabah, Datuk Norjan Khan Bahadar dijumpai mati di dalam sebuah bilik hotel di Bandaran Berjaya, Kota Kinabalu pada 11 Februari 2004. Norjan dijumpai mati terbaring dalam keadaan lengkap berbaju di tepi katil dengan beberapa kesan tikaman kecil di bahagian leher dan muka beliau. Polis pada mulanya mengesyaki motif cemburu sebagai punca utama kematian tersebut tetapi menukar kepada motif rompakan walaupun tiada barang yang hilang di dalam biliknya.
Penyiasatan membawa kepada penangkapan seorang pelayan, Azman Bakar di mana polis percaya suspek cemburu melihat Norjan bersama lelaki lain. Ketika sidang penghakiman, seorang saksi telah membawa seorang ahli perniagaan Pakistan, Amir Khan. Beberapa bukti timbul semasa perbicaraan yang menunjukkan Datuk Norjan mempunyai hubungan dengan Amir Khan walaupun dia menafikannya.
Azman Bakar kemudiannya dibebaskan apabila pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan bahawa Azman pada faktanya mengenali Norjan. Tiada tangkapan lain dibuat. Sekali lagi, kes misteri yang tidak diselesaikan.
5. Tragedi ‘Double Six’
rememberingthedoublesixtragedy
Anda yang menetap di Kuala Lumpur mungkin pernah melalui Taman Tun Dr Ismail dan pastinya akan terperasan Jalan Tun Fuad Stephens. Namun, berapa ramai sahaja yang tahu siapakah dia sebenarnya. Pastinya ada yang menjawab beliau adalah bekas Ketua Menteri Sabah. Tetapi berapa ramaikah yang tahu berkenaan kematian beliau yang penuh misteri dan kes tersebut masih tidak diselesaikan hingga ke hari ini.
Pada 6 Jun 1976, Tun Fuad Stephens bersama beberapa pegawai kerajaan termasuk anak sulung beliau, Johari menaiki pesawat Nomad GAF yang dikendalikan oleh Sabah Air di Lapangan Terbang Labuan dalam perjalanan ke Kota Kinabalu. Bagaimanapun, ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, pesawat itu terhenti dan terhempas lalu membunuh semua anak kapal termasuk juruterbang.
Khianat disyaki sebagai motif utama kejadian tersebut walaupun kemudiannya kelemahan reka bentuk pesawat dilihat sebagai punca utama insiden tersebut. Kematian Tun Fuad terjadi selepas 44 hari penggal kedua beliau sebagai Ketua Menteri Sabah. Keadaan politik yang mengiringi kematiannya begitu ironis kerana ia mempunyai kaitan dengan isu minyak dan gas di Sabah.
YM Tengku Razaleigh Hamzah sepatutnya menaiki kapal terbang yang sama tetapi pada saat-saat akhir telah di ajak turun daripada pesawat oleh Timbalan Ketua Menteri pada masa itu iaitu Datuk Harris Mohd. Salleh untuk merasmikan projek ladang lembu di Pulau Banggi, Kudat. Tengku Razaleigh yang juga menaiki jenis pesawat yang sama telah diarahkan untuk menjauhi pesawat sebaik sahaja mendarat di Kudat kerana dikhuatiri pesawat mengalami masalah yang sama. Sebaik sahaja mereka mendapat berita buruk ini, mereka telah di terbangkan oleh helikopter tentera ke Kota Kinabalu.
Sejurus pesawat tersebut menjunam di kawasan air cetek, lokasi berkenaan menjadi tumpuan orang ramai kerana ketika terhempas, ia dikatakan menggegarkan kawasan itu. Malapetaka tersebut kemudiannya dikenali sebagai peristiwa Double Six sempena tarikh kejadian itu iaitu 6/6/1976. Setahun selepas kejadian tersebut, sebuah tugu peringatan didirikan di lokasi berkenaan bagi memperingati tragedi itu yang merupakan salah satu peristiwa penting negara.
4. Berakhirnya Kesengsaraan Kehidupan
KKT1
Xo Jian Huang, 14, warganegara China telah dihantar untuk menetap di Malaysia bersama sepupu bapanya. Bagaimanapun, pada 27 September 2005, dia dijumpai mati lemas dalam sebuah kolam renang dengan 23 kesan dera di badan mangsa. Siasatan membawa kepada penangkapan dan perbicaraan yang melibatkan tiga lelaki yang dituduh membunuh Xu; bapa saudaranya seorang ahli perniagaan, Koh Kim Teck dan dua orang pengawal peribadinya, Resty Agpalo dan Mohd Najib Zulkifli.
36 hari perbicaraan telah menyebabkan gelaran ‘Datuk Seri’ ahli perniagaan itu dibatalkan. Bagaimanapun, disebabkan timbulnya keraguan yang tidak dapat diselesaikan dan tidak terjawab, ketiga-tiga suspek itu bebas daripada membunuh mangsa. Bukan itu sahaja, saksi yang sepatutnya hadir semasa perbicaraan dikatakan telah hilang menyebabkan ketiga-tiga suspek itu dilepaskan.
Memetik laporan media pada 2010, pihak pendakwaraya membuat rayuan untuk menentang tertuduh dan Koh yang terkenal dengan personaliti korporatnya berjaya menghilangkan diri. Pada sidang rayuan, seperti dijangka, Koh tidak menghadirkan diri pada semua sesi rayuan. Pada 2010, dia telah dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan tetapi Koh masih menghilangkan diri. Adakah dia yang menyiksa anak saudaranya? Adakah pengawal peribadinya turut terlibat? Kenapa ada saksi yang hilang?
3. Wanita Ilmu Hitam
1069928_592811574102765_106728039_n
Kes tersebu telah selesai. Pembunuh telah dihukum mati. Kes ditutup. Bagaimanapun, apa yang terjadi di sekeliling dan keanehan pembunuh kes ini menyebabkan ia masih tersenarai dalam carta ini. Pada 22 Julai 1993, polis menemui mayat ADUN Batu Talam, Mazlan Idris yang dicincang. Bekas penyanyi yang kemudian bertukar menjadi bomoh, Mona Fandey ditahan bersama suami dan pembantu beliau.
Ketiga-tiga mereka didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati. Hukuman mati tetap dilaksanakan walaupun terdapat rayuan. Tiada siapa yang hidup pada era 90-an boleh melupakan perbicaraan Mona Fandey – Mazlan Idris. Mayatnya telah dicincang kepada beberapa bahagian selepas berlangsungnya satu upacara ghaib dipercayai bertujuan untuk membawa lebih banyak wang untuknya.
Mayat Mazlan kemudian ditanam di stor berhampiran rumahnya di Pahang. Apa yang dianggap sebagai ‘belum selesai’ ialah ketika kekejaman mereka itu dibawa ke muka pengadilan. Sepanjang perbicaraan, Mona sentiasa berkata “Aku takkan mati” dan kekal tenang dengan senyuman di bibirnya.
2. Tragedi Pembunuhan Ketua Polis Negara
igp abdul rahman hashim
Tan Sri Abdul Rahman Hashim telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-3. Pada 7 Jun 1974, ketika Abdul Rahman berada di dalam kereta menuju ke Bukit Aman, kereta yang dipandu Sarjan Omar Yunus yang melalui Jalan Tun Perak telah dihujani beberapa das tembakan. Dua penyerang yang tidak dikenali telah melepaskan 11 das tembakan pada kereta tersebut di mana tujuh das terkena KPN.
Pada masa itu, Malaysia sedang berusaha menentang kebangkitan kuasa subversif yang datang dari kalangan ahli komunis. Dipercayai bahawa pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng yang mengeluarkan arahan bunuh. Bagaimanapun, ia tidak berjaya dibuktikan di mahkamah. Pada 1975, dua orang lelaki, Lim Woon Choong dan Ng Foo Nam didapati bersalah membunuh Ketua Polis Perak Tan Sri Khoo Choong Khong di Jalan Ashby di Ipoh.
Kemudian timbul teori bahawa berkemungkinan penyerang tersebut adalah orang yang sama menyerang Abdul Rahman walaupun tiada bukti kukuh. Lim dan Ng telah dihukum mati pada tahun 1978 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sehingga hari ini, masih tidak diketahui adakah benar mereka berdua pembunuh upahan yang membunuh Abdul Rahman.
1. Tragedi Kemalangan Pesawat Negara
Nahas pesawat di Sungai Buluh 1977
Pada hari Isnin 4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan rakyat Malaysia dalam sejarah Penerbangan Malaysia (MAS) apabila salah sebuah pesawat miliknya terhempas dan mengorbankan banyak nyawa termasuk orang kenamaan. Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama tujuh krew penerbangan telah meletup dan terhempas di sebuah kawasan paya bakau dekat Kampung Ladang, Tanjong Kupang, Gelang Patah, Johor.
Rangka pesawat itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya. Peristiwa yang berlaku 34 tahun lalu itu juga meninggalkan memori hitam kepada sejarah negara apabila ia turut mengorbankan Duta Cuba ke Malaysia yang pertama, Mario Garcia Inchaustegui dan isterinya, Gladys yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri seminar di Pulau Pinang.
Berdasarkan kisah yang dinyatakan kepada umum, pada pukul 7.21 malam hari kejadian, pesawat Boeing 737 yang dikendalikan Kapten G.K. Ganjoor dan pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Subang.
Sebelum sempat melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Subang, Ganjoor sempat memberitahu menara kawalan mengenai kehadiran pengganas di dalam pesawat yang sedang dikendalikannya. Selepas mengetahui perkara tersebut, pihak berkuasa Lapangan Terbang Subang segera mengosongkan laluan 33 bagi membolehkan pesawat Boeing 737 kendalian Ganjoor dan Kamarulzaman mendarat dengan selamat.
MAS
Bagaimanapun, pesawat tersebut tidak sempat untuk melakukan pendaratan di lapangan terbang itu, sebaliknya Ganjoor bertindak terbang semula ke awan dan memberitahu menara kawalan yang dia diarahkan oleh pengganas untuk menuju ke Singapura. Peristiwa ini mempunyai kisah misteri dan seramnya tersendiri. Kira-kira pukul 8.15 malam, pesawat yang membawa 93 penumpang bersama tujuh krew penerbangan itu hilang dari radar menara kawalan dan terhempas di sebuah kawasan hutan paya bakau di Tanjong Kupang, Gelang Patah.
Selain mengorbankan Mario Garcia dan usahawan Jepun, Tomio Gotto, tragedi pesawat MH653 itu turut meragut nyawa Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid; Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican serta dua pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime.
Beberapa spekulasi bahawa ‘Japanese Red Army’ adalah pihak yang bertanggungjawab tetapi tiada bukti ditemui untuk menyokong teori tersebut. Ia kekal sebagai memori tragis dalam sejarah penerbangan komersial di Malaysia dan kematian kesemua anak kapal pesawat berkenaan menjadikan tragedi berada di tempat teratas senarai kami.
MH653 1

Ular Sawa Telan Buaya Di Australia


SYDNEY – Seekor ular menelan seekor buaya selepas membelitnya dalam satu pertarungan di Tasik Moondarra, Queensland, Australia kelmarin.
Detitk-detik pertarungan itu disaksikan oleh seorang lelaki, Travis Corlis dan isterinya, Tiffany Corlis.
Menurut Travis, ular sawa itu sepanjang 3.04 meter manakala buaya tersebut sepanjang 0.91 meter.
“Kedua-dua haiwan itu bertarung di dalam tasik. Kami berdiri sambil menyaksikan (pertarungan itu) dengan penuh kekaguman,” kata Travis.
Menurutnya, beberapa jam kemudian, dia mendapati ular berkenaan membelit badan buaya tersebut dan menarik haiwan berkenaan ke tepi tebing.
Travis berkata, ular tersebut melepaskan belitan pada buaya berkenaan di tepi tasik tersebut.
Dia berkata, ketika belitan itu dilepaskan, buaya tersebut telah mati.
“Kira-kira 10 minit kemudian, buaya itu telah ditelan ular berkenaan,” katanya.
Tiffany berkata, pertarungan tersebut dianggapnya seperti satu kejadian yang tidak dapat dipercayainya tetapi pernah berlaku di depan matanya.
“Namun, kejadian itu benar-benar berlaku. Ular tersebut telah menelan buaya itu,” katanya.
Menurut Tiffany, ketika bertarung, buaya berkenaan bergelut untuk memastikan kepalanya berada di atas permukaan air.
Dia berkata, kedua-dua haiwan itu kelihatan letih semasa pertarungan tersebut berlaku.
Pada akhirnya, kata Tiffany, buaya tersebut memenangi pertarungan itu.

Dibuang Keluarga Kerana Penyakit

BANDUNG, Jawa Barat – Seorang wanita Indonesia berusia 46 tahun di sini menderita selepas hampir keseluruhan tubuh badan termasuk mukanya dipenuhi ketumbuhan seperti bintil.
Lebih memilukan, wanita yang dikenali sebagai Sarotin itu telah dibuang oleh ahli keluarganya sendiri yang malu dengan keadaan anak mereka.
Sarotin mula menghidap penyakit kulit itu sejak tiga tahun lalu dan terpaksa meminta sedekah untuk menyara hidupnya.
Wanita itu pernah menjalani pembedahan yang dibiayai oleh kerajaan tempatan bagi membuang ketumbuhan seberat 70.5 kilogram itu, tetapi tumor tersebut tumbuh semula.
Separuh dari mukanya turut terjejas apabila terdapat satu ketumbuhan besar yang tumbuh sehingga menutup sebahagian penglihatannya.
Wanita malang itu mendakwa, dia tidak mampu untuk menanggung kos rawatan perubatannya dan sangat berharap untuk sembuh serta menjadi seperti wanita-wanita cantik yang lain.